Red Devils sah bercerai dengan Solskjaer

Red Devils sah bercerai dengan Solskjaer

MANCHESTER United sah memecat Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendalinya susulan rentetan prestasi hambar yang hanya sekadar meraih satu kemenangan dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengumuman itu dibuat selepas The Red Devils merekodkan beberapa siri kekalahan sebelum ini dengan terbaru dibelasah 4-1 kepada Watford semalam. 

“Manchester United mengumumkan Ole Gunnar Solskjaer sudah melepaskan jawatannya sebagai pengurus.

“Tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin, bukan sahaja sebagai seorang pemain, tetapi sebagai seorang lelaki yang hebat dan pengurus yang memberikan kami banyak detik hebat.

“Dia akan selamanya dialu-alukan kembali ke Old Trafford sebagai sebahagian daripada keluarga Manchester United, justeru dengan rasa kesal, kami sudah mencapai keputusan sukar ini,” kata kelab itu dalam satu kenyataan, hari ini. 

Meskipun memiliki bintang sensasi dunia Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama skuadnya, pengendali kelahiran Norway itu gagal menjelmakan gaya permainan hebat serta menarik. 

Bekas pemain tengah, Michael Carrick akan ditugaskan sebagai pengurus sementara dengan tugas pertamanya ialah menentang Villarreal dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu.

Bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane dilaporkan menjadi pilihan utama untuk menggantikan Solskjaer, selain Pengurus Leicester, Brendan Rodgers dan bos Ajax, Erik Ten Hag turut dalam persaingan itu. -Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen