‘Sultan Ibrahim nakal di sekolah’

‘Sultan Ibrahim nakal di sekolah’

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar rupanya seorang pelajar nakal di sekolah.

Ia diakui dua bekas gurunya yang juga pasangan suami isteri, Cheah Phee San, 82, dan isterinya Seah Phek Luang, 74, namun menyifatkan itu lumrah kenakalan kanak-kanak di zaman persekolahan.

Memori ‘manis’ mendidik Sultan Ibrahim itu diceritakan semula oleh pasangan guru tersebut yang dikongsi baginda di laman Facebook rasminya, hari ini.

“Tuanku Sultan Ibrahim merupakan seorang yang agak nakal ketika di sekolah, tetapi Baginda tidak pernah bertindak keterlaluan dan sangat-sangat menghormati guru. Biasalah, nakal budak-budak,” kata Phee San yang mengajar baginda subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani.

Phee San dan Phek Luang mengajar Sultan Ibrahim ketika baginda bersekolah di Maktab Sultan Abu Bakar (English College) pada tahun 1970-an.

“Walaupun baginda seorang pewaris takhta, baginda tidak kekok berkawan dengan orang-orang biasa di sekolah dan ini satu sikap yang kami gurunya kagumi,” ujar Phek Luang pula, yang mengajar baginda subjek Geografi.

Semalam, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap kedua-dua gurunya itu dan meluangkan masa menyantuni mereka.

“Bersempena Ulang Tahun Keputeraan Tuanku, kami mengucapkan selamat hari lahir kepada Tuanku Sultan.

“Kami mendoakan yang terbaik untuk Baginda dalam peranannya, kerana Baginda telah melakukan pelbagai kebaikan untuk rakyat,” kata mereka.

Phee San dan Phek Luang kini menetap di Petaling Jaya, turut dijamu santapan tengah hari bersama Sultan Ibrahim. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen