Bayaran Fasa 2 BKC mulai Khamis ini

Bayaran Fasa 2 BKC mulai Khamis ini

PEMBAYARAN Fasa 2 Bantuan Khas Covid-19 (BKC) akan dibuat mulai Khamis, 25 November ini dengan peruntukan RM300 juta, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata bayaran kedua itu akan melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.

“Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, iaitu https://bkc.hasil.gov.my.

Untuk maklumat lanjut termasuk kriteria penerima dan jumlah bantuan yang bakal diterima, warga Keluarga Malaysia boleh merujuk Jadual 2 serta Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Perdana Menteri berkata pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 BKC akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan pada Disember 2021 melibatkan peruntukan RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.

Katanya, pembayaran Fasa 1 BKC telah selesai dibuat pada September lalu dengan peruntukan RM3.1 bilion dan memanfaatkan hampir 10 juta penerima.

BKC merupakan sebahagian inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Pada 28 Jun 2021, kerajaan mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.

Ismail Sabri menegaskan, kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus
komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen