Guru tidak divaksin diasing dalam stor tukang cuci

Guru tidak divaksin diasing dalam stor tukang cuci

SEORANG individu yang mendakwa berkhidmat sebagai guru di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Ipoh di zalimi hanya kerana tidak divaksinasi.

Dakwaan itu tular sejak semalam dalam satu video di aplikasi Tik Tok yang berdurasi seminit 53 saat.

Dalam video berkenaan, lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai Cikgu Hafizan dan mendakwa diasingkan oleh pihak pentadbiran sekolah dalam sebuah bilik yang diperbuat daripada zink.

Menurutnya, ruangan yang sebelum ini menjadi stor bagi tukang cuci bukan sahaja tiada kelengkapan bersesuaian tetapi sangat panas hingga dia terpaksa menjadikan kereta sebagai pejabat buat masa ini.

“Saya Cikgu Hafizan, SMK St Michael Ipoh Perak. Seperti yang diketahui saya diasingkan dan diberikan satu bilik.

“Bilik yang diberikan asalnya adalah stor pendidikan jasmani, tetapi kemudian ditukar kerana merupakan kawasan laluan ramai.

“Sekarang saya ditukar di bilik lain yang juga stor tukang cuci sekolah dan saya dah masuk bilik berkenaan yang cuma ada meja tanpa kerusi,” katanya dalam video berkenaan.

Beliau turut memberitahu bilik berkenaan mempunyai kipas tetapi tiada soket elektrik untuk membolehkan penggunaan komputer riba dan sebagainya.

“Bilik itu diperbuat daripada zink..dinding daripada zink. Jadi saya masuk sekejap sahaja dan memang tidak tahan..sangat panas.

“Sekarang saya duduk dalam kereta sebab bilik itu terlalu panas dan tak layak untuk diduduki,” katanya. 

Berdasarkan komen-komen netizen berhubung dakwaan yang dibuat individu terbabit, kebanyakannya mengecam tindakan guru berkenaan sendiri yang tidak divaksin hingga boleh membahayakan nyawa pelajar.

Terdapat juga netizen yang mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat berhubung dakwaan itu serta pihak sekolah tampil memberi penjelasan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen