MN perjanjian yang diredhai Allah, mesti dipertahan- Nik Abduh

MN perjanjian yang diredhai Allah, mesti dipertahan- Nik Abduh

Aiman Hanif

AHLI Jawatankuasa PAS pusat, Nik Abduh Nik Aziz menyifatkan Muafakat Nasional (MN) sebagai satu perjanjian yang diredhai Allah SWT dan perlu dipertahankan parti itu.

Anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu berkata, jika PAS mampu bertahan selama tujuh tahun bersama dengan DAP, kenapa tidak terus bersama MN.

“Sebaik-baik perjanjian politik yang termeterai sejak berpuluh tahun adalah di Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) yang membentuk MN.

“Ia perjanjian yang diberkati Allah ‘dengan serta merta’ dengan kurniaan hujanan air mata rakyat di seluruh negara. Ia menyatukan dua kumpulan besar umat Islam yang bertelagah sejak puluhan tahun. Ia meruntuh segala marak kemarahan dan dendam, lalu terbina di atasnya rahmat dan kasih sayang sesama umat.

‘Jika PAS boleh bertahan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) selama lebih tujuh tahun demi bersama menentang ketidakadilan kerajaan BN masa itu, maka tidak malukah kita pada Allah, jika tidak mahu malu pada diri sendiri dan pada rakyat, dengan membiarkan api kepanasan terus mara dan marak sesama pemimpin yang pasti boleh menyebabkan MN runtuh dalam tempoh yang singkat? ,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Isu MN mencuri perhatian apabila PAS membuat keputusan untuk menjadi rakan komponen Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu dan Gerakan.

Bahkan isu kerjasama PAS dan Umno terus hangat diperkatakan apabila PAS yang bertanding atas tiket PN bertembung dengan calon Umno/BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Kegagalan PAS memenangi sebarang kerusi dalam PRN Melaka menyebabkan ada suara-suara yang mahukan parti itu memperkukuhkan kembali hubungan mereka dengan Umno dalam MN.

Mengulas lanjut Nik Abduh berkata, apakah parti itu gembira untuk menukar kasih sayang dan kegembiraan dengan dendam dan kebencian sesama umat.

Dengan memetik sepotong hadis, Nik Abduh berkata sebagai orang yang beriman mereka sepatutnya menyempurnakan perjanjian.

“Gembirakah kita untuk kembali menukarkan air mata kasih sayang dan kegembiraan kepada kebencian, dendam dan berburuk sangka sesama umat?

“Bukan diri saya namanya jika tidak bersedia memadamkan segala kebodohan ini,” kata Nik Abduh. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen