Perlukah beri hadiah tanah, rumah RM100 juta kepada perosak negara? – Tun M

Perlukah beri hadiah tanah, rumah RM100 juta kepada perosak negara? – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan keputusan kerajaan yang bersetuju memberi tanah dan membuat rumah bernilai RM100 juta kepada Datuk Seri Najib Razak, kononnya sebagai menghargai khidmatnya sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Langkawi itu mempersoalkan apa jasa dan sumbangan Najib kepada negara sedangkan ramai tahu beliau didapati bersalah mencuri dan menghilangkan wang kerajaan berbillion Ringgit.

“Dia dihukum penjara 12 tahun dan denda lebih RM200 juta. Ia sedang dibicara terhadap lebih 800 juta dolar Amerika Syarikat (AS) yang ada dalam banknya,” kata Perdana Menteri ketujuh itu.

Dr Mahathir menambah, Najib juga tidak dapat menjelaskan bagaimana beliay memperoleh wang yang sebegitu banyak sehingga puluhan tahun kerajaan terpaksa membayar faedah RM2 billion setahun dan hutang pokok RM42 billion.

Malah beliau berkata Najib juga merosakkan Umno yang buat pertama kali kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tiga tahun lalu.

“Pentadbiran negara juga dirosakkan sehingga pegawai tinggi terpaksa dihentikan kerana rasuah. Ekonomi negara hancur dan sekarang ini keadaan politik tidak stabil sehingga dalam masa tiga tahun berlaku pertukaran Perdana Menteri tiga kali.

“Negara ini yang dahulu dikenali Asian Tiger sekarang menjadi kleptokrasi iaitu negara pencuri yang diperintah oleh pencuri, hasil pemerintahan Najib. Dunia pandang hina kepada Malaysia sekarang,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyindir atas segala ‘jasa’ tersebut kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan1.08 hektar tanah bernilai RM60 juta dan akan membangunkan sebuah rumah bernilai RM40 juta buat Najib.

Sebaliknya Dr Mahathir berkata, Tunku Abd Rahman yang menjadi Perdana Menteri pertama dan berjaya memerdekakan negara hanya dapat sebuah rumah papan.

Tun Abdul Razak Hussein pula rumahnya dijadikan monumen manakala Tun Hussein Onn tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi dan begitu juga Tun Rahah hanya mendapat rumah kerajaan yang sedia ada.

“Saya jadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak tuntut dan tidak dapat apa-apa selain dari pencen dan RM10,000 sebulan untuk selenggara rumah yang didiri oleh saya sendiri.

“Sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepada saya secara percuma apabila bersara tetapi saya tolak, sebaliknya saya beli tanah di Putrajaya dengan harga seperti ditawar kepada penjawat awam apabila bersara.

“Setiap tahun saya bayar cukai tanah sebanyak RM6,071 dan cukai taksiran sebanyak RM1,792.

“Najib yang menghancurkan negara sehingga menjadi kleptokrasi pula akan diberi RM100 juta tanpa dilulus oleh Parlimen – bahkan dirahsia. Najib membuat permohonan sedangkan bekas Perdana Menteri lain tidak buat permohonan untuk tanah tertentu,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan untuk menghadiahkan sebidang tanah dan sebuah rumah kepada Najib yang dianggar RM100 juta, namun Najib kemudian menolak tawaran tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata dunia ketawa melihat Malaysia di mana seorang banduan yang lesap berbillion ringgit begitu disanjung tinggi dan dihormati.

Sebagaimana biasa katanya, Najib cuba salahkannya kerana buat pindaan pada tahun 2003 kepada Akta Saraan Ahli Parlimen 1980.

Beliau menjelaskan pindaan itu bertujuan untuk kerajaan menimbang memberi sedikit ganjaran kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa mereka.

“Biasanya ganjaran yang diberi ialah rumah Kerajaan yang sedia ada. Ia tidak bertujuan untuk memberi kemewahan atau kekayaan kepada bekas Perdana Menteri.

“Perdana Menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperoleh lebih dari mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa. Itulah yang saya lakukan.

“Kita boleh hargai jasa seseorang Perdana Menteri tetapi tidaklah sampai menjadinya millionaire. Sumbangan mereka sebenarnya juga perlu diambil kira.

“Bagi seorang Perdana Menteri yang merosakkan negara sehingga dihukum penjara, perlukah kita beri hadiah sampai RM100 juta, sedangkan yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan berbumbung genting sahaja?,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen