‘Saya, KPM tak pernah keluarkan larangan berleter’ – Radzi Jidin

‘Saya, KPM tak pernah keluarkan larangan berleter’ – Radzi Jidin

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengeluarkan sebarang jadual berkaitan larangan bentuk hukuman seperti yang tular di media sosial.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau tidak pernah membuat kenyataan berkaitan larangan ‘berleter’ kepada guru seperti dilaporkan sebuah portal berita bertarikh 21 November lalu.

“Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang keluarkan kenyataan tersebut.

“KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk “Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang” dalam mana-mana dokumen rasmi KPM.

“Sama-sama kita semak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya. Mohon jasa baik sahabat semua kongsikan-kongsikan penjelasan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Pada perkembangan sama, KPM dalam kenyataan hari ini menjelaskan tidak pernah mengeluarkan jadual yang bertajuk “Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang” seperti yang tular di media sosial.

KPM berkata, tatacara pengurusan disiplin yang dikeluarkan oleh KPM adalah seperti berikut:

i. Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959;

ii. Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturanPelajaran;

iii. SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah;

iv. SPI Bil. 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin;

v. SPI Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan

vi. SPI Bil. 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

“Sehubungan dengan itu, KPM menegaskan bahawa tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan di atas,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen