1,500 kuota harian permulaan VTL darat Malaysia – Singapura

1,500 kuota harian permulaan VTL darat Malaysia – Singapura

PERJALANAN rentas sempadan Malaysia dan Singapura melalui darat yang dibuka mulai 29 November ini menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), menetapkan kuota harian tidak lebih 1,500 pengembara.

Perkembangan itu diumum Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan hari ini, yang menyaksikan ia dilaksanakan serentak dengan pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura melalui udara pada tarikh sama.

Menurut PMO, Malaysia dan Singapura telah mencapai lebih 95 peratus kadar populasi dewasa divaksin, sekali gus memberi peluang kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan.

Kenyataan itu memaklumkan, pembukaan semula sempadan darat menerusi VTL), mewajibkan pengembara divaksinasi sepenuhnya, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, harus ditemani ibu bapa atau penjaga lengkap divaksin.

PMO juga memaklumkan pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warga kedua-dua negara termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

“Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan
kesihatan terperinci ditentukan oleh negara masing-masing.

“Pada masa ini, VTL-Land akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.

“Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan
Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura,” kata PMO.

Menurut kenyataan itu, kerajaan kedua-dua negara juga bersetuju menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan, dengan peningkatan dari minggu ke minggu.

Katanya, pelancaran VTL-Land adalah selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Selain pekerja, VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah Tambak yang telah terpisah dengan keluarga akibat pandemik Covid-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.

Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Pengembara yang masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal.

Pada 8 November lalu, Perdana Menteri mengumumkan perjalanan rentas sempadan Malaysia dan Singapura melalui udara menggunakan Lorong Perjalanan Vaksinasi (VTL), dibenarkan mulai 29 November ini.

Sebelum ini, sempadan Malaysia-Singapura ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen