JDT pasukan ‘kerek’ – Muhammad Sanusi

JDT pasukan ‘kerek’ – Muhammad Sanusi

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih belum puas ‘mengusik’ JDT apabila sekali lagi memuat naik status di Facebook berhubung sikap ‘sombong’ pasukan dari selatan tanah air itu.

Beliau berkata, perangai pemain JDT ini dilihat seolah-olah dilatih untuk menjadi sedemikian terhadap pemain pasukan lain.

“Kelaku depa (mereka) ini seperti dilatih supaya ‘kerek’ dengan pemain pasukan lain seolah-olah pasukan lain dalam kelas (kasta) lebih rendah.

“Kerek adalah istilah lain bagi bongkak yang dibina terutamanya dalam kalangan pegawai dan pemain dan pegawai import atau naturalisasi yang besar kepala,” katanya memetik Kosmo.

Bersama status tersebut, Muhammad Sanusi turut berkongsi pautan sebuah akhbar yang melaporkan pandangan Tenaga Pengajar Bahagian Teknikal Pengadil, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh, mengenai tindakan pemain pertahanan JDT, Shane Lowry mengasari Jordan Mintah dalam perlawanan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, Isnin lalu.

Menurut Subkhiddin yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lowry, pemain import dari Australia boleh dikenakan hukuman berat memandangkan keganasan itu berlaku sewaktu keadaan ‘out of play’.

Insiden tersebut menjadi polemik dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila Lowry dilihat meluruh ke arah Mintah sebelum menarik baju dan menolak pemain dari Ghana itu yang sedang dalam keadaan terbaring pada minit ke-71.

Tindakan itu menimbulkan suasana tegang namun pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah tidak melayangkan kad amaran kepada Lowry menyebabkan timbul polemik dalam kalangan peminat bola sepak tanah air berhubung kejadian tersebut.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilihat beberapa kali menulis di Facebook bagi membalas kenyataan-kenyataan dibuat pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelang pertemuan KDA FC dan JDT di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen