PRN Sarawak 18 Disember ini – SPR

PRN Sarawak 18 Disember ini – SPR

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak ditetapkan bermula 6 Disember ini dengan tarikh penamaan calon dan 18 Disember 2021 sebagai hari mengundi.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-12, hari ini.

Menurutnya, hari pengundian awal pula ditetapkan pada 14 Disember ini dan tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas penamaan calon.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak berhubung dengan pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak ke-11 pada 3 November lalu.

“Sehubungan itu SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan PRN Sarawak hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 82 kerusi DUN berikutan berlakunya pembubaran DUN Sarawak.

“Beberapa tarikh penting ditetapkan bagi PRN Sarawak iaitu tarikh writ keluar hari ini (Rabu), tarikh penamaan calon 6 Disember (Isnin), tarikh mengundi awal 14 Disember (Selasa) dan hari mengundi pada 18 Disember (Sabtu),” katanya.

Beliau berkata, bagi menjalankan proses PRN Sarawak, SPR telah melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 249 orang Penolong Pegawai Pengurus.

Menurutnya, bagi tujuan memantau semua aktiviti pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen SPR akan menubuhkan 155 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya.

“Pasukan ini dianggotai oleh wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Abdul Ghani berkata, daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan adalah daftar pemilih terkini termasuk daftar pemilih tambahan yang dikemaskini sehingga 2 November lalu.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi 1,252,014 pengundi,” katanya.

Pada 3 November lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menamatkan Proklamasi Darurat Sarawak dan susulan itu DUN Sarawak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen