Akta anti lompat parti, kerajaan pasti gubal tapi tidak terburu-buru

Akta anti lompat parti, kerajaan pasti gubal tapi tidak terburu-buru

[PARLIMEN] KERAJAAN akan menggubal akta anti lompat parti dan memberi jaminan ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum Julai 2022, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, kerajaan tidak mahu melaksanakannya secara terburu-buru dan melulu.

Menurutnya, beliau sangat bersetuju akta itu patut digubal dan memberi jaminan akan memastikan ia dibentangkan.

“Namun kita tidak boleh ikut naluri, rasa, kemarahan atau semangat saja‚Ķ kita kena lihat pandangan semua pihak,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka turut dijadikan panduan bagi PRN Sarawak, namun dengan beberapa penyesuaian mengikut perkembangan semasa di negeri itu.

Ini kerana katanya, Sarawak ada perbezaan sedikit yang mana negeri itu masih di Fasa Tiga, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Melaka ketika PRN sudah berada pada Fasa Empat dan SOP untuk PRN Sarawak akan dibincangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan Kementerian Kesihatan serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkaitan,” katanya.

Mengenai undi 18 tahun, Wan Junaidi berkata, ia hanya dapat dilaksanakan Januari depan dan persediaan sedang dilaksanakan SPR.

“Matlamat kerajaan untuk melaksanakan (pendaftaran) undi automatik adalah pada 2023, bukan sekarang,” katanya. – Malaysiapost

Komen