DBKL akan muktamadkan halatuju Wilayah Bebas Berniaga

DBKL akan muktamadkan halatuju Wilayah Bebas Berniaga

[PARLIMEN] DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam proses memuktamadkan Program Halatuju Wilayah Bebas Berniaga pada hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata DBKL kini dalam proses untuk melakukan penempatan dan penyusunan semula peniaga-peniaga di bawah program tersebut.

“Ini bagi memastikan peniaga ini dapat kita selaras dan susun atur semula dalam keadaan lebih teratur dan tersusun,” katanya menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan melaksanakan Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga bermula 15 November 2020.

Ia sebagai pelan tindakan jangka pendek bagi membantu warga Wilayah Persekutuan termasuk penjaja yang terjejas punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Di bawah inisiatif ini, urusan permohonan lesen penjaja dipermudah dan menetapkan syarat permohonan yang mudah dengan penetapan lokasi yang tidak menimbulkan kacau ganggu lalu lintas serta penjagaan kebersihan di kawasan aktiviti penjaja yang dibenarkan.

Mengulas lanjut Jalaluddin berkata, permohonan Penjaja Lesen Sementara KL Prihatin (LSKLP) bagi Program Wilayah Bebas Berniaga telah ditutup pada 15 April 2021.

Katanya, peniaga yang lesen diluluskan sehingga 31 Julai 2021 telah diberi tempoh lanjutan lesen sehingga 31 Disember ini.

Bagi kawasan Putrajaya, beliau berkata, Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menyediakan ruang niaga serta mempermudah urusan permohonan dan kelulusan kepada Penjaja Kecil Sementara (PKS) dan Usahawan Muda Kota (UMK) bagi membolehkan mereka menjana pendapatan.

“Selain itu, pengecualian dari bayaran lesen juga diberikan bagi membantu penjaja kecil sementara ini.

“Setakat ini, sebanyak 118 kebenaran untuk menjalankan perniagaan dikeluarkan kepada penjaja kecil sementara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 22 PKS yang masih beroperasi dan aktif.

“Manakala untuk Usahawan Muda Kota pula, jumlah sasaran lot niaga yang dikenal pasti adalah 118 dan yang telah ditawarkan adalah 95 peniaga. PPj juga merancang untuk menyediakan 47 lot baru bagi tahun 2021 dan 2022,” katanya. – Malaysiapost

Komen