Dr Nor Azimi kongsi rahsia bertahan dengan seorang bibik selama 14 tahun

Dr Nor Azimi kongsi rahsia bertahan dengan seorang bibik selama 14 tahun

KEBANYAKAN rakyat Malaysia yang menggunakan khidmat pembantu rumah warga asing atau bibik mengimpikan perkhidmatan terbaik dan mampu bekerja atau bertahan lama hingga akhirnya menjadi seperti ahli keluarga sendiri.

Berkongsi pengalaman mengenai pembantu rumah, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, bersyukur diberikan rezeki bibik yang sangat baik.

Menurutnya, wanita berasal dari Jawa Barat, Indonesia itu sudah 14 tahun bersamanya dan keluarga yang kini sudah sampai masanya bersara dan berehat di tanah airnya.

“Selalu orang bertanya. Lamanya bertahan dengan seorang bibik. Apa rahsia? Lalu saya bercerita.

“Bibik tu bekerja dengan kita. Bukan hamba kita. Juga bukan kuli kita. Dia pun bukan robot. Dia manusia biasa macam kita. Ada hati dan perasaan. Layan dia sebagai seorang manusia,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, majikan jangan terlalu berkira soal makan dengan pembantu rumah hingga mencatu makanan, selain perlu meluangkan masa untuk bersembang dengan mereka.

Menurutnya, majikan juga jangan terlampau berkira tentang kerja dan masa rehat pembantu rumah kerana manusia tidak sempurna sering lakukan kesilapan dan sesekali perlu dipuji atas kerjanya.

“Tak ada ribut taufan ke? Ada. Sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula bibik yang bersama saya 14 tahun lamanya.

“Tapi tak adalah sampai bot tu karam. Tegur dan marahlah jika perlu. Bukan tegur menghina. Pandailah kita kemudi supaya keadaan tenang semula,” katanya.

Beliau berkata, hasil berjimat cermat pembantu rumahnya itu berjaya memiliki tujuh tanah kebun, tiga kolam ikan, satu tanah sawah dan satu tapak rumah.

“Saya selalu usik dia, harta dia lagi banyak dari saya dan dia janda kaya di kampung dia.

“Jaga-jaga bibik, ramai lelaki tunggu kat kampung tu…usik saya. Dia ketawa gembira,” katanya.

Menurutnya, pembantu rumahnya yang sudah berusia itu juga tidak pernah sekalipun ‘tangan panjang’ dan kini sudah sampai masa untuk dia berehat.

“Hari ini saya di KLIA menghantarnya pulang ke Cikalong, Jawa Barat selepas 14 tahun bersama kami. Jangka masa yang sangat lama. Tentulah perasaan kami bercampur baur. Kali terakhir dia pulang adalah 2018 yang lalu.

“Pasti kami sekeluarga akan merinduinya apalagi anak bungsu yang di tatang dari usia dua tahun,” kongsinya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen