Guan Eng mahu BN hidupkan semula projek ditangguhkan PH

Guan Eng mahu BN hidupkan semula projek ditangguhkan PH

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Barisan Nasional (BN) memenuhi janji pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menghidupkan semula projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini hanya menangguhkan projek berkenaan selama dua tahun sehingga Mei 2020 dengan membayar kos penangguhan sebanyak SGD$15 juta (RM45.1 juta) kepada Singapura.

“Penangguhan ini akan mengurangkan beban kewangan kerajaan yang besar berikutan skandal RM53 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ia juga bagi membolehkan Kerajaan Malaysia menyemak semula kerangka kewangan HSR Kuala Lumpur-Singapura untuk mengurangkan kos,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa malangnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan BN kemudiannya membatalkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dengan membayar pampasan sebanyak RM320 juta lagi kepada Singapura.

“Sekarang, berikutan kemenangan BN dalam PRN Melaka, BN perlu memenuhi janji kempen PRN Melaka untuk menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura,” katanya.

Selain menggesa BN menghidupkan semula projek mega berkenaan, Guan Eng turut mahu BN mengurangkan harga ayam yang meningkat ketika ini.

“Janganlah menang pilihan raya terus senyap,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen