Jangan jadikan persatuan belia untuk kejar jawatan politik – Jalaluddin

Jangan jadikan persatuan belia untuk kejar jawatan politik – Jalaluddin

KEPIMPINAN belia Melayu diingatkan agar tidak menjadikan persatuan atau pertubuhan belia sebagai platform untuk mendapatkan tempat di dalam politik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata pertubuhan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan, perlu mengenepikan segala bentuk ideologi dan fahaman politik.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, berkata tindakan menjadikan pertubuhan belia sebagai landasan politik hanya mengundang perbalahan dan mewujudkan puak sehingga membelakangkan prinsip penubuhan pertubuhan itu.

“Saya tidak bermaksud mereka tidak langsung boleh terlibat di dalam politik, tetapi di dalam pengurusan persatuan itu mestilah mengenepikan segala bentuk ideologi dan fahaman politik.

“Kerana ia akan memulakan satu perbalahan atau puak yang tidak perlu ada di dalam kepimpinan persatuan belia termasuk GPMS,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan di ibu negara malam tadi.

Beliau berkata, apabila perbalahan dan amalan berpuak timbul, secara tidak langsung akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri serta matlamat penubuhan persatuan belia itu tidak akan tercapai.

“Mereka mestilah berfikiran terbuka dan mempunyai wawasan hanya khusus untuk memastikan agenda perjuangan GPMS itu jelas untuk melihat kecemerlangan anak-anak Melayu di dalam pendidikan sampai ke tahap maksima,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin menggesa kepimpinan GPMS Wilayah Persekutuan membantu pelajar-pelajar Melayu di 63 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang menghadapi masalah meneruskan pembelajaran.

“Mereka ini semuanya dari keluarga berpendapatan rendah dan B40. Ada dalam kalangan mereka yang tidak ada perancangan untuk menyambung pengajian.

“Jadi ini adalah tugas pemimpin GPMS untuk memastikan anak-anak Melayu ini mempunyai pendidikan yang tinggi agar dapat mengubah nasib keluarga mereka,” katanya.

Terdahulu, beliau turut melancarkan Skuad Sukarelawan Pendidikan GPMS Wilayah Persekutuan yang akan bergerak ke seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk membantu pelajar-pelajar dari keluarga B40 dan M40.- Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen