Lembaga pengelola St Michael sokong asingkan guru tak vaksin

Lembaga pengelola St Michael sokong asingkan guru tak vaksin

LEMBAGA Pengelola Institusi St Michael (BOG) menyokong tindakan pengetua sekolah itu mengasingkan seorang guru yang tidak divaksin. 

Pengerusinya, Tan Sri Lee Oi Hian dalam kenyataan bersama Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah, Simon Yeong Chin Chow berkata, mereka bersetuju bahawa pengetua telah mematuhi semua prosedur.

BOG dan Persatuan PIBG sekolah menjelaskan, mereka mengetahui prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di bawah Akta Kawalan Penyakit Jangkitan serta arahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Pengetua kami telah mematuhi semua prosedur dan BOG menyokong tindakannya,” kata kenyataan bersama itu, hari ini. 

Semalam media melaporkan keluhan seorang guru yang ditempatkan berasingan di bilik stor sekolah itu kerana menolak divaksin.

Pengetua SMK St Michael, Sit Wai Yin berkata, guru itu adalah satu-satunya guru yang masih belum mendapat dos vaksin Covid-19 dan oleh itu dia tidak dibenarkan berinteraksi secara bersemuka dengan guru atau pelajar lain.

Video guru terbabit dimuat naik di TikTok Isnin lalu  dan menerima lebih 1.2 juta tontonan.

Mengikut garis panduan pengurusan dan operasi sekolah yang ditetapkan KPM, mereka yang belum diberi vaksin atau menolaknya masih perlu ke sekolah tetapi perlu mematuhi semua garis panduan dan arahan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen