Menteri KPDNHEP mesti pro-aktif kawal harga barang – Pemuda Umno

Menteri KPDNHEP mesti pro-aktif kawal harga barang – Pemuda Umno

PEMUDA Umno meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) lebih pro-aktif mengawal harga barang keperluan asas rakyat pasca pandemik dan menjelang musim hujan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mempersoal adakah Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggu masih membincangkan mengenai isu kenaikan harga barang yang melonjak kebelakangan ini.

Katanya, KPDNHEP tidak boleh membiarkan rakyat menunggu lebih lama lagi sebelum diumumkan langkah-langkah direncanakan bagi menangani lonjakan harga barang keperluan asas.

“Tindakan berani dan berkesan seperti menyediakan subsidi untuk mengawal kos dedak-dedak binatang ternakan juga antara yang boleh dilakukan bagi memastikan harga ayam contohnya dapat distabilkan.

“Begitu juga penguatkuasaan Akta Anti-Pencatutan mesti dipertingkatkan oleh pihak berkuasa KPDNHEP supaya tidak timbul sebarang kemungkinan ‘hoarding’ atau pencatutan oleh pihak pengedar atau pemborong untuk mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini, mengulas isu kenaikan harga barang.

Sejak kebelakangan ini, harga barangan keperluan asas khususnya makanan seperti ayam yang sayur-sayuran dilaporkan naik mendadak, antara lain didakwa disebabkan kenaikan harga makanan ayam serta musim tengkujuh.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata satu lagi isu lebih besar yang perlu menjadi ‘wake-up call’ kepada kerajaan ialah apa sebenarnya perkembangan dan hala-tuju ‘Dasar Jaminan Makanan Negara’.

Katanya, dasar itu sepatutnya memastikan kebergantungan kepada import makanan berada pada tahap paling minimum dan kos bahan makanan asas rakyat pada tahap yang berpatutan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen