MP pembangkang tak sertai MoU tak layak terima peruntukan sama rata

MP pembangkang tak sertai MoU tak layak terima peruntukan sama rata

[PARLIMEN] HANYA Ahli Parlimen pembangkang yang menyertai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan sahaja diberi peruntukan sama rata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Ahli Parlimen yang tidak sertai MoU pula akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa MoU Transformasi dan Kestabilan Politik akan datang untuk dibincangkan.

“Hanya Ahli Parlimen terlibat saja bakal diberi dulu. Selepas itu (yang belum dapat) saya akan bawa dalam mesyuarat akan datang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon semua Ahli Parlimen pembangkang diberi peruntukan sama rata.

Anwar berkata MoU dengan kerajaan sebelum ini menyatakan akan mempertahan hak dan tanggungjawab Pakatan Harapan (PH) untuk semak imbang mengawasi, meneliti, dan memastikan kerajaan bertanggungjawab pada Parlimen.

“Saya selaku Ketua Pembangkang secara konsisten dari awal memang memohon supaya peruntukan sama diberikan kepada semua pembangkang walaupun tidak terikat dengan MoU,” katanya.

Pada 13 September lalu, pembaharuan Parlimen Perkara 3.5 MoU antara PH yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan, menetapkan peruntukan sama rata kepada semua ahli Dewan Rakyat yang terlibat dalam persefahaman itu.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang enggan menyertai MoU, meminta peruntukan sama rata diberi kepada mereka. – Malaysiapost

Komen