Pengguna digesa beralih ke rangkaian 4G

Pengguna digesa beralih ke rangkaian 4G

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa pengguna telefon bimbit atau peranti 3G segera beralih ke rangkaian 4G sebelum rangkaian 3G di Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2021.

MCMC dalam kenyataan berkata, ia supaya perkhidmatan telekomunikasi pengguna tidak terkesan, yang akan menyebabkan mereka ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.

“Justeru, pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G disaran segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke 4G, bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Penyelesaian penamatan rangkaian 3G ini seiring usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Ini bertujuan untuk mengguna semula spektrum sedia ada bagi mengukuh rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberi pengalaman 4G lebih baik dan menarik kepada pelanggan dan isi rumah,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCMC berkata peningkatan kualiti itu akan dapat dilihat merangkumi kelajuan data yang lebih tinggi, latensi rendah dan kestabilan rangkaian.

“Hasilnya pelanggan akan dapat melayari Internet, menstrim video dan menikmati lain-lain perkhidmatan dalam talian dengan lebih baik dan lancar,” katanya.

MCMC turut memaklumkan
setakat 30 September 2021, 94.03 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G, dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat.

“Pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn Bhd telah melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G,” katanya.

Dalam pada itu, MCMC menggesa orang ramai dan syarikat memanfaatkan inisiatif kerajaan bagi membantu peralihan ke rangkaian 4G dengan sebaik mungkin bagi menikmati kesalinghubungan jalur lebar lebih baik dan lancar.

“Antara inisiatif tersebut adalah Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Program Jaringan Prihatin yang membolehkan warganegara Malaysia memiliki atau menaik taraf peranti mudah alih terpilih yang bertaraf 4G VoLTE ataupun membeli pakej perkhidmatan data internet yang telah disubsidi oleh kerajaan dan penyedia perkhidmatan,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen