PM mahu penguatkuasaan lebih agresif pantau harga barang

PM mahu penguatkuasaan lebih agresif pantau harga barang

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pihak penguatkuasa melakukan pemantauan dan operasi yang lebih agresif dalam membendung kenaikan harga barang.

Perdana Menteri berkata ia bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

“Pihak penguatkuasa perlu melakukan pemantauan dan operasi yang lebih agresif.

“Ini untuk memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sehingga mengundang kemarahan kepada pengguna,” katanya menerusi hantaran di laman sosial miliknya hari ini.

Terdahulu hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dipetik berkata trend peningkatan harga barangan ketika ini disifatkan masih lagi dalam situasi normal terutama melibatkan makanan.

Beliau berkata, pemantauan harga barangan melibatkan 480 jenis barangan dan 1,583 premis secara harian, mingguan dan bulanan.

Katanya, hasil pemantauan mendapati, kebenaran merentas negeri bukan punca utama kenaikan harga secara tidak terkawal oleh peniaga, tetapi kerancakan ekonomi akibat pembukaan banyak sektor menjadikan permintaan bekalan melebihi penawaran. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen