RM80 juta peruntukan elaun JKKK Sarawak

RM80 juta peruntukan elaun JKKK Sarawak

KERAJAAN meluluskan peruntukan lebih RM80 juta setahun bagi pembayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wilayah Sarawak.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Kabinet pada 19 November lalu memutuskan elaun Setiausaha JKKK, pengendalian mesyuarat dan kehadiran mesyuarat JKKK di Wilayah Sarawak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.

“Suka saya maklumkan bahawa elaun bagi Pengerusi JKKK Sarawak sudah dibayar dan atas persetujuan kerajaan Sarawak juga, elaun bagi Setiausaha JKKK Sarawak dan elaun mesyuarat JKKK akan dibayar tidak lama lagi.

“Saya juga ingin memaklumkan jumlah peruntukan elaun tahunan itu adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Marudi di Miri hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Tun Abang Openg.

Mahdzir berkata, pembayaran bagi ketiga-tiga elaun tersebut yang sebelum ini menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak, dilihat dapat memantapkan lagi jentera pentadbiran JKKK peringkat akar umbi.

Katanya, selain itu ia dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan Sarawak khususnya dalam pelaksanaan program pembangunan luar bandar yang melibatkan peranan institusi JKKK.

“Ini sebagai tambahan kepada elaun Pengerusi JKKK Wilayah Sarawak yang telah disediakan kerajaan Persekutuan sebelum ini sebanyak RM35.8 juta setahun,” katanya.

Kerajaan Persekutuan menurut Mahdzir, menyediakan lebih RM213 juta bagi pembayaran elaun untuk 15,434 JKKK dan JPKKP di seluruh negara setiap tahun.

Katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), melihat peranan JKKK dan JPKKP adalah amat penting terutama dalam situasi negara berhadapan pandemik Covid-19.

Justeru tegas Mahdzir, JKKK dan JPKKP bukan sahaja berperanan sebagai ejen penyampai maklumat terkini daripada kerajaan kepada komuniti setempat, malah terlibat sebagai pelaksana pelbagai program pemerkasaan komuniti yang dianjur kerajaan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen