Sanusi tanya KM Pulau Pinang bayaran air mentah secara berdepan

Sanusi tanya KM Pulau Pinang bayaran air mentah secara berdepan

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor malam tadi berjumpa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow secara berdepan untuk bertanya dan berterus terang tentang isu bayaran air mentah.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Muhammad Sanusi memaklumkan beliau mengambil kesempatan bertemu Kon Yeow sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Katanya, tuntutan bayaran air mentah itu adalah untuk negeri dan rakyat Kedah, menuntut hak yang wajar dan munasabah daripada pengorbanan Kedah menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar.

“Dari situlah mengalirnya sungai-sungai membekalkan air mentah untuk minuman dan kawasan pertanian makanan untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Jawapan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada saya – Penang tidak mampu membayarnya, hasil kami tidak banyak.

“Sukar sekali menghadamkan jawapan beliau kerana semua tahu PBA jana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik, daripada air mentah yang berpunca dari Kedah,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang tetap bertegas tidak akan membayar caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun seperti dituntut Kedah.

Sementara itu Kon Yeow dalam reaksi balas di Facebooknya pula menegaskan pendirian Pulau Pinang sudah banyak kali dinyatakan secara rasmi.

“Kita tidak akan bayar kerana isu bayaran adalah tidak berbangkit. Ini kerana kita ambil air dari sempadan negeri kita. Nampaknya Kedah masih tidak mahu faham,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen