TFC, MFL dikompaun RM10,000

TFC, MFL dikompaun RM10,000

PASUKAN Terengganu FC (TFC) dan Malaysia Football League (MFL) masing-masing dikompaun RM10,000 akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, dua kompaun berjumlah RM20,000 itu dikenakan di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Kompaun itu diberikan kepada tuan rumah, Terengganu Football Club Sdn Bhd dan Malaysia Football League (MFL) selaku penganjur perlawanan.

“Kita telah menjalankan siasatan dan penganjur gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton dan penyokong iaitu penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna semasa perlawanan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perlawanan tersebut melibatkan TFC bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 1-1.

Bagaimanapun, Dr Kasemani berkata, siasatan pihaknya mendapati pengurusan TFC mematuhi peraturan lain iaitu menyediakan QR kod Mysejahtera, pengambilan suhu dan menyediakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki stadium.

“Selain itu, jumlah bilangan penonton juga dihadkan kepada 20,000 berbanding kapasiti sebenar 47,500 penyokong, membenarkan penonton lengkap vaksin sahaja memasuki stadium dan mewajibkan semua penonton memakai pelitup muka sepanjang perlawanan berlangsung.

“Penganjur juga ada menyediakan pasukan kawalan keselamatan seramai 430 orang terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan petugas keselamatan di pintu masuk kompleks sukan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, setiap individu perlu memainkan peranan penting memastikan diri masing-masing tidak mendapat jangkitan dan tidak menjangkiti orang lain.

“Ini penting bagi mencegah berlakunya penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga, komuniti dan tempat kerja,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen