Tiada pihak berkuasa agama negeri arah sekolah pondok, tahfiz tutup

Tiada pihak berkuasa agama negeri arah sekolah pondok, tahfiz tutup

[PARLIMEN] TIADA sekolah tahfiz dan sekolah pondok berdaftar diarah tutup oleh mana-mana pihak berkuasa agama kerajaan negeri sepanjang pandemik Covid-19.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Ahmad yang berkata, berdasarkan maklumat disahkan Pihak Berkuasa Agama Negeri, memang tiada institusi berkenaan yang ditutup.

Menurutnya, terdapat institusi tahfiz swasta yang ditutup sementara bagi mematuhi arahan kerajaan supaya rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

“Namun tidak dinafikan ada institusi yang berhadapan dengan kemerosotan sumber kewangan akibat penularan wabak itu.

“Bagi membantu sekolah tahfiz dan pondok ini, kerajaan sekali lagi menyedia peruntukan RM100 juta bagi tujuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) merangkumi sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini

Idris berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Amirrudin Hamzah (PEJUANG-Kubang Pasu).

Mengulas lanjut, Idris berkata, sebanyak RM60 juta disalurkan kepada 1,066 institusi yang layak, sehingga Ogos lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, RM22.2 juta sudah disalurkan kepada 413 institusi tahfiz di seluruh negara.

Idris menjelaskan, baki RM40 juta diterima pada 4 Oktober lalu bagi tujuan sama dan juga untuk kos pengurusan serta pengoperasian institusi berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Nawawi (PAS-Tumpat) mengenai usaha mendapatkan syarikat besar membantu institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar beliau berkata, perkara itu antara 32 inisiatif dalam 20 strategi dilaksanakan kerajaan membantu institusi pengajian dan sekolah berkenaan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen