Pengerusi PN Melaka letak jawatan

Pengerusi PN Melaka letak jawatan

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa berkuatkuasa serta merta.

Beliau berkata, surat rasmi peletakan kedua-dua jawatan terbabit akan diserahkan kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu esok.

“Assalamualaikum. Saya ingin memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuatkuasa serta merta.

“Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, peletakan jawatan itu bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru mengetuai Bersatu dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang mencukupi dalam membuat segala persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Peletakan jawatan ini juga bagi membolehkan segala fokus dapat saya berikan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

“Ia juga bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab saya sebagai Naib Presiden BERSATU menjelang PRU15,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu berharap dan berdoa agar rakyat Melaka dan Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN pimpinan Muhyiddin

“Moga-moga PN akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada PRU15 yang bakal tiba nanti,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, PN hanya memenangi dua kerusi iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban.- Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen