Tiada kes kontak rapat baharu varian Omicron – KJ

Tiada kes kontak rapat baharu varian Omicron – KJ

TIADA kes baharu kontak rapat dikenalpasti sama ada dalam pesawat dan sebuah premis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikunjungi kes indeks Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pengesanan kontak rapat kes pertama Varian Membimbangkan (VOC) itu dibuat menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan.

Beliau berkata, hanya dua penumpang yang juga warga asing dalam penerbangan sama dikategorikan sebagai kontak rapat, namun ujian saringan ketika ketibaan dan ulangan, selepas menjalani kuarantin adalah negatif.

“Penumpang yang berada di empat barisan hadapan dan empat barisan belakang, kiri dan kanan, hanya dua orang saja boleh dikategorikan sebagai kontak rapat, kedua-dua mereka ialah warga asing.

“Hasil ujian saringan terhadap mereka adalah negatif Covid-19, iaitu semasa ujian ketibaan dan ujian ulangan, sebelum diberi pelepasan daripada kuarantin.

“Setakat ini tiada lagi kes kontak rapat baharu dalam penerbangan sama dengan kes indeks, namun pengesanan akan terus dijalankan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy berkata, menerusi semakan menggunakan rekod MySejahtera, kes indeks Omicron berkunjung ke Eraman, iaitu tempat makan di KLIA apabila tiba di Malaysia pada 19 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang berada di premis terbabit pada waktu sama dengan kes indeks tidak dikategorikan sebagai kontak rapat.

Mengulas lanjut, katanya, susulan kes pertama varian Omicron dikesan di negara ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan kajian terhadap kes indeks, memandangkan nilai kitaran ambang (CT) yang diperoleh daripada ujian diagnostik adalah tinggi, iaitu lebih 26.68.

Menurutnya, ujian diagnostik menggunakan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) bagi mengesan kehadiran virus Covid-19 dalam tubuh badan seseorang lazimnya membabitkan kira-kira 40 kitaran.

Jelas beliau, sekiranya nilai CT yang diperoleh dalam ujian berkenaan rendah, ia bermaksud kesan virus dalam badan adalah tinggi dan jangkitan Covid-19 berada di peringkat awal.

Sehubungan itu, Khairy berkata, KKM ingin memahami apa yang berlaku di sebalik kes pelajar perempuan berusia 19 tahun berkenaan, sebelum dikategorikan sebagai kes indeks Omicron di Malaysia. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen