Berselendang di masjid, Azalina pertahan tindakan Hannah Yeoh

Berselendang di masjid, Azalina pertahan tindakan Hannah Yeoh

DATUK Seri Azalina Othman Said menyeru politik kebencian menggunakan kaum dan agama dihentikan.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata selepas 64 tahun negara mencapai kemerdekaan politik kebencian menggunakan kaum dan agama adalah satu perkara yang memalukan.

“Selepas 64 tahun Merdeka, adakah kita tidak malu untuk masih menggunakan politik kebencian menggunakan kaum dan agama? Cukup la!” ciapnya di Twitter, hari ini.

Beliau memberi reaksi demikian susulan kecaman diterima Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkaitan tindakannya berselendang dan berbaju kurung ketika menghadiri hari terbuka di sebuah masjid di kawasan parlimennya baru-baru ini.

Mengulas mengenainya, Azalina berkata, tindakan Hannah itu tidak salah malah tanggungjawabnya sebagai ahli parlimen di kawasan itu.

“YB @hannahyeoh melakukan apa yang akan dilakukan oleh mana-mana MP yang bertanggungjawab & profesional, iaitu berkhidmat di kawasannya & menghormati tatasusila masjid,” katanya.

Terdahulu, hari ini Hannah terpaksa membuat kenyataan media untuk mempertahankan tindakannya itu.

Ahli parlimen DAP itu menjelaskan sejak menjadi wakil rakyat beliau akan memastikan pakaian sesuai ketika mengunjungi setiap rumah ibadat.

Menurutnya, selain masjid, beberapa tempat ibadat lain juga memerlukan kedua-dua lelaki dan wanita untuk menutupi kepala mereka sebagai contoh di gurdwara dan beberapa gereja yang mengamalkan pakaian sebegitu.

“Ia juga adab kesopanan. Perbuatan ini juga diamalkan apabila kita menziarahi kematian.

“Saya akan terus melakukannya walaupun berhadapan dengan segelintir suara yang melampau di tanah air sendiri.

“Saya membuat kenyataan media ini untuk menjelaskan kepada mereka di luar sana akan kepentingan menutupi kepala di tempat ibadat,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen