Dua pemain Harimau Malaya positif Covid-19

Dua pemain Harimau Malaya positif Covid-19

KEMPEN Malaysia mengharungi kejohanan Piala AFF 2020 di Singapura sedikit terencat apabila dua pemainnya disahkan positif Covid-19.

Penjaga gawang Harimau Malaya, Khairulazhan Khalid dan pemain sayap, Mohd Faisal Halim disahkan positif Covid-19 sebaik sahaja selesai melakukan pemeriksaan ujian calitan wabak di negara itu hari ini.

Pengurus pasukan, Datuk Yusof Mahadi memaklumkan dua pemain itu kini menjalani kuarantin selama 10 hari dan akan menjalani pemeriksaan harian.

“Mereka berdua akan menjalani pemeriksaan setiap hari mengikut peraturan ditetapkan Singapura, buat masa ini mereka berdua telah diasingkan untuk menjalani kuarantin,” katanya dipetik Cakap Sukan, hari ini. 

Dua pemain tonggak pasukan itu dijangka terlepas beberapa perlawanan peringkat awal Kumpulan B dan hanya akan diturunkan sekiranya dibenarkan pada perlawanan terakhir menentang Indonesia.

Kejuaraan Piala AFF 2020 yang bakal bermula dari 5 Disember hingga 1 Januari tahun depan dengan Malaysia menyasarkan layak ke pentas final untuk kali kedua berturut-turut. 

Malaysia yang dikemudi Tan Cheng Hoe telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Malaysia akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja esok, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember ini. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen