JDT kalah: ‘Menteri Besar seorang itu tidak perlulah nak bising-bising’

JDT kalah: ‘Menteri Besar seorang itu tidak perlulah nak bising-bising’

RAKYAT Johor langsung tidak terasa dengan sindiran daripada mana-mana pihak berikutan kekalahan negeri itu menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Selasa lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata rakyat Johor tetap berbangga dengan pencapaian yang dilakar pasukan bola sepak negeri, JDT.

Beliau berkata, pihaknya tidak berasa kecil hati kerana memahami dalam sukan bola sepak pasti akan ada pihak yang menang dan kalah.

“Walaupun tidak berjaya, ada Menteri Besar seorang itu tidak perlulah nak bising-bising. JDT ini tidak terasa apa pun kerana bola itu bulat, boleh menang dan boleh kalah.

“Tapi tidak perlulah si polan itu nak berbesar hati kerana JDT tidak berjaya dalam perlawanan akhir baru-baru ini.

“Tapi kita orang Johor tetap berbangga dengan JDT, ia tetap menjadi satu pasukan yang ulung dalam negara, selalunya bila JDT main, satu negara akan sokong yang lawan JDT. Jadi kita bukan lawan KL City tapi kita lawan Malaysia,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas, hari ini.

Pada perlawanan akhir itu, KL City mengejutkan JDT hasil jaringan pertama hasil sentuhan Zhafri Yahya pada minit ke-66 dan diikuti jaringan kedua oleh kapten KL City, Paulo Josue pada minit ke-74.

Zhafri juga dinobatkan sebagai pemain terbaik pada perlawanan penutup tirai Liga Malaysia musim ini.

Selepas perlawanan akhir itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang juga Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memuat naik status dalam Facebooknya seolah-olah menyindir skuad Harimau Selatan itu.

“Sapa (Siapa) ada gambaq (gambar) rimau (harimau) jalan tersipu-sipu?” katanya yang turut disertakan dengan emoji ketawa.

Muhammad Sanusi turut melakar sebuah pantun untuk JDT; “Dari Kedah ke Singapura, singgah di KL membeli gula, saya membawa khabar gembira, JDT kalah lawan bola.” – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen