Tok Mat bidas Hadi, nafi Umno mungkir piagam MN

Tok Mat bidas Hadi, nafi Umno mungkir piagam MN

PANDANGAN Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Umno telah memungkiri piagam Muafakat Nasional (MN) adalah tersasar, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menegaskan, Umno tidak pernah mungkir kepada piagam MN yang dipegang kedua parti besar itu.

“Kepada rakan-rakan dalam PAS, janganlah kita lupa bahawa MN tidak ditubuhkan dengan matlamat PPBM (Bersatu) mesti menjadi sebahagian darinya.

“Malah, salah satu sebab MN itu dibidani kelahirannya ialah untuk menentang PH (Pakatan Harapan). PPBM adalah komponen PH waktu itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru itu, Mohamad berkata, untuk memaksa Umno menerima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan.

Katanya, tambahan lagi bila mengenangkan bagaimana Bersatu bersekongkol dengan DAP dalam menentang Umno dan menumbangkan kerajaan pimpinan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu mengakui memang benar MN harus memayungi semua orang Melayu.

“Namun sesiapa jua yang ingin kita bawa masuk ke MN mestilah serasi dengan kepentingan Umno dan PAS. Piagam MN pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa Umno dan PAS.

“Kerana itu Umno tidak pernah mengajak PKR, Amanah, PUTRA ataupun Pejuang untuk menyertai MN, walaupun mereka juga sebahagian dari ummah yang berkepentingan. Jujurnya kerana Umno tidak mahu menyinggung PAS.

“PAS dan seluruh Malaysia telah arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agong Umno memutuskan bahawa, Umno tidak akan melakukan apa jua kerjasama dengan PPBM. Umno terikat dengan pendirian ini.

“Jadi amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baru dalam MN,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohamad berkata, Piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat serta MN pula tidak pernah didaftarkan.

Katanya, ini kerana Umno mahu orang Melayu melihatnya sebagai wadah untuk semua, dan bukan instrumen politik Umno dan PAS semata-mata.

“Jadi janganlah dek kerana Umno tidak mahu menerima PPBM (Bersatu), MN itu PAS tinggalkan. Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar dari kepentingan PPBM menyertai MN.

“Jadi, janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN.

“Semoga Tan Sri Presiden PAS akan terus bersama Umno dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, insha Allah,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen