PRN Sarawak: Proses penamaan calon bermula pagi ini

PRN Sarawak: Proses penamaan calon bermula pagi ini

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak bermula dengan proses penamaan calon bagi semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini.

Kertas penamaan calon dikemukakan bermula jam 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di setiap pusat penamaan calon (PPC).

PRN kali ini akan menyaksikan 1,252,014 pengundi layak mengundi dan keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran.

Memetik laporan media tempatan, petugas kesihatan telah melakukan proses sanitasi di pusat-pusat penamaan calon seawal 7.30 pagi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilaporkan akan bertanding di semua 82 kerusi DUN dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri yang diketuai mereka.

GPS bakal ditentang beberapa parti pembangkang tempatan selain parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Setiap parti komponen PH Sarawak akan menggunakan logo masing-masing di setiap kerusi DUN yang ditandingi mereka kali ini.

Barisan Nasional (BN) serta Bersatu sebelum ini masing-masing mengesahkan tidak bertanding dalam PRN Sarawak, namun menyatakan sokongan kepada GPS.

PAS bagaimanapun dilaporkan mahu bertanding satu daripada 82 kerusi DUN.

Calon-calon yang bertanding dan parti politik diberi tempoh 12 hari untuk berkempen sebelum tarikh mengundi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Disember. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen