Tubuh RCI siasat projek pembangunan di tanah rizab sungai – Pemuda Amanah

Tubuh RCI siasat projek pembangunan di tanah rizab sungai – Pemuda Amanah

Muhammad Nabil Norhalim

PEMUDA Amanah Selangor sangat bersimpati dengan nasib menimpa ratusan ribu mangsa banjir di seluruh negeri Selangor, khususnya di bawah Parlimen Kota Raja, antara kawasan teruk terkesan dengan banjir. Banjir yang menimpa kali ini adalah yang terbesar dan hakikatnya, Taman Sri Muda telah pun mengalami lima kali banjir setahun dan kali ini lebih besar dan yang terburuk dalam sejarah.

Kita menyedari punca terbesar banjir luar biasa ini adalah disebabkan oleh taburan air hujan yang sangat tinggi tidak seperti kebiasaan. Namun, faktor pembangunan yang tidak mampan dan juga pelan kontigensi yang lemah juga menyebabkan situasi dan pengurusan banjir caca merba di banyak tempat. Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang ditubuhkan dari awal tidak menunjukkan sebarang hasil atau tindakan berkaitan banjir dan bencana alam.

Apa yang rakyat mahukan hari ini adalah penyelesaian yang diyakini dari kerajaan dalam memastikan masalah banjir dapat dielakkan, pengurusan mangsa banjir yang efisien, perlindungan kepada mangsa banjir secara menyeluruh dan penyelesaian jangka panjang bukan runcit-runcit.

Jika tiada tindakan kukuh dari kerajaan, pihak paling terkesan dalam bencana ini adalah rakyat, rakyat terpaksa menanggung kerugian yang amat tinggi. Malah, pembangunan ekonomi negeri Selangor akan terbantut kerana keyakinan para pelabur dalam dan luar negara akan merosot teruk dengan ketidakyakinan perancangan mengatasi hujan luar jangka seperti hari ini.

Di Selangor bukan sedikit kawasan yang terjejas dan kerap mengalami banjir. Kawasan Kuala Langat-Bukit Changgang, Sepang, Ampang, Hulu Langat dan Hulu Selangor turut merupakan kawasan kerap mengalami banjir, namun banjir hujung tahun 2021 merupakan banjir terbesar melihatkan kesan buruk yang besar berlaku di kawasan tersebut. Maka tindakan yang tuntas perlu dilakukan bagi mengelakkan perkara ini berulang sekaligus mengembalikan keyakinan rakyat kepada negeri Selangor.

Justeru, Pemuda Amanah Selangor ingin mengusulkan:

  1. Ditubuhkan Majlis Pemulihan Bencana yang diletak di bawah kerajaan persekutuan tetapi melapor secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong. Jawatankuasa ini mestilah melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Agensi-agensi kerajaan, Ahli Akademik, Pihak Swasta dan Pemimpin Lapangan.

Melalui penubuhan Majlis Pemulihan Bencana ini, usaha semua kerajaan atau “a whole government effort” dapat dijalankan untuk mensinergikan usaha pencegahan banjir, pengurusan mangsa banjir, pengurusan pasca banjir dan pelbagai hal berkaitan. Paling penting ialah SOP pengurusan banjir yang dapat memberikan bantuan yang pantas dan cekap.

  1. Pemuda Amanah ingin mencadangkan agar diwujudkan penempatan semula perumahan di lokasi rendah di Selangor yang berisiko menghadapi banjir tiap kali taburan hujan tinggi berlaku. Pembelian semula tanah mestilah bersamaan dengan nilai semasa dan keluasan tanah sedia ada. perancangan jangka panjang diperlukan dan dilakukan secara berfasa.
  2. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat projek pembangunan tanah di tanah rizab sungai, dataran banjir yang hari ini dibangunkan untuk tujuan komersial seperti yang berlaku di Sri Muda, Kota Raja. siasatan juga kepada projek pembalakan yang menyebabkan hakisan tanah dan banjir lumpur.
  3. Mewujudkan aplikasi digital berpusat untuk memudahkan rakyat mengakses pelbagai info terkini, bantuan khas, perkhidmatan khas, inisiatif sedia ada kerajaan, bantuan bencana dan pelbagai fungsi lain. sistem siren dan alam boleh dijadikan kaedah amaran saat saat akhir.

Usul ini akan dihantar terus ke pihak berwajib supaya tindakan bersepadu dapat disegerakan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Penulis ada Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Selangor dan Ketua Pemuda Amanah Kota Raja

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

Google+ Linkedin

Komen