Ellie Suriaty terbuka hati lengkap divaksinasi

Ellie Suriaty terbuka hati lengkap divaksinasi

PELAKON Ellie Suriaty akhirnya mengakui terbuka hati untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada tahun lalu.

Malah, aktres berusia 52 tahun itu telah lengkap divaksinasi menerusi dos kedua Sinovac pada November lalu.

Menurutnya, sebagai isteri dia akur permintaan suaminya, aktor Azri Iskandar untuk melihat dia dan anak-anak dilindungi vaksin.

Jelasnya, tempoh diberikan suami selama dua tahun untuknya menyuarakan perkara berkaitan vaksin telah tamat, sekali gus menjadi punca dia akur dengan kehendak suaminya itu untuk menerima dos pertama Sinovac pada penghujung Oktober lalu.

Malah Ellie menegaskan sebab utama dia terbuka hati untuk menerima suntikan kerana menghormati pendirian dan patuh kepada suaminya.

“Suami memberi tempoh kepada saya selama dua tahun untuk menyuarakan tentang vaksin Covid-19. Jadi, sudah tiba masanya untuk saya dan anak mengikut katanya.

“Jadi, sebab utama saya ambil suntikan vaksin kerana patuh pada suami. Selagi dia masih suami, saya kena dengar katanya dan hormatinya sebagai suami.

“Tapi saya ada cakap pada dia, apa-apa terjadi kepada saya dan anak kami, dia kena tanggunglah,” katanya dipetik MStar, hari ini.

Dalam pada itu, Ellie menegaskan pendiriannya sebelum ini yang enggan menerima suntikan tersebut bukan kerana antivaksin sebaliknya hanya menyuarakan keraguan terhadap bahan pelali yang dicipta dalam masa enam hingga lapan bulan saja.

“Apa yang saya ingin jelaskan, saya bukan antivaksin. Saya cuma persoal dan menyuarakan tentang vaksin Covid-19 yang dicipta dalam masa enam hingga lapan bulan saja.

“Tak tepat panggil saya antivaksin. Pada saya, tak salah untuk menyuarakan. Saya bercakap selepas buat kajian. Saya tak main cakap saja. Tak ada siapa nak dijangkiti Covid-19.

“Masing-masing ada cara tersendiri untuk mencegah diri daripada wabak tersebut. Sepanjang saya tak ambil vaksin, tak kena pun jangkitan (Covid-19),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ellie dan dua anak mereka berusia 17 serta 12 tahun enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 atas sebab-sebab keselamatan dan kesihatan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen