Jawatankuasa Pilihan Khas bincang isu Azam Baki minggu depan

Jawatankuasa Pilihan Khas bincang isu Azam Baki minggu depan

ISU pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, pada 19 Januari ini

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, yang juga anggota jawatankuasa berkenaan selepas menerima notis mengenai mesyuarat itu pagi tadi.

Menurutnya, mesyuarat itu akan diadakan pada Rabu depan jam 2 petang di Parlimen.

“Pagi ini menerima pengesahan bahawa satu mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri akan dipanggil pada 19 Januari 2022 (Rabu), 2 petang di Parlimen.

“Isu yang akan kami bincang: isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut memuat naik notis pengesahan yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.

Berdasarkan notis berkenaan, mesyuarat akan diadakan di Bilik Jawatankuasa 2, Parlimen dan ahli jawatankuasa yang akan hadir perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 menggunakan kaedah RTK Ag Saliva di Klinik Parlimen sebelum hadir mesyuarat.

Jawatankuasa itu, diketuai Ahli Parlimen PAS, Abdul Latiff Abdul Rahman, sementara ahli lain termasuk wakil daripada Barisan Nasional (BN) Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Parit Datuk Nizar Zakaria.

Ahli lain adalah Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau daripada Gabungan Parti Sarawak dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS).

Manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong; serta Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman daripada Warisan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen