Lambaian terakhir kapten Harimau Malaya buat Shebby

Lambaian terakhir kapten Harimau Malaya buat Shebby

KETUA pasukan Harimau Malaya Aidil Zafuan Abdul Radzak tidak menyangka lambaian kepada Serbegeth Singh petang tadi adalah yang terakhirnya kepada bekas pemain pertahanan kebangsaan itu.

Jelas Aidil Zafuan, dia sempat melambaikan tangan kepada Serbegeth atau lebih mesra disapa Shebby ketika dalam perjalanan pulang selepas mengambil anak dari sekolah.

“Saya dan Shebby sebenarnya tinggal di perumahan yang sama iaitu di Taman East Ledang, Nusajaya.

“Selepas mengambil anak pulang kira-kira jam 5.30 petang, saya dapat lihat seorang penunggang basikal seorang diri kira-kira satu kilometer dari kawasan perumahan kami.

“Ketika itu cuaca sangat panas, saya berada dalam kereta dan sempat melambaikan tangan serta menyapanya (hai).

“Namun saya terkejut apabila melihat berita dan dan mendapat perkhabaran melalui WhatsApp perumahan kira-kira jam 8 malam tadi mengenai kejadian yang menimpa Shebby,” katanya dipetik portal Cakap Sukan, hari ini.

Terdahulu, Shebby, 61, yang merupakan bekas pemenang pingat emas dalam acara bolasepak Sukan Sea 1989 meninggal dunia petang tadi akibat serangan jantung ketika sedang berbasikal.

Mendiang yang lahir pada 20 Ogos 1960 merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia berketurunan Punjabi dari 1978 hingga 1996.

Beliau juga telah membantu Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen