Pegawai kanan SPRM wajib berkecuali – Majlis Presiden PH

Pegawai kanan SPRM wajib berkecuali – Majlis Presiden PH

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) memandang serius tindakan tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan sokongan terbuka kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung tohmahan yang dihadapi.

Kepimpinan pembangkang itu berpendapat, tindakan janggal secara terburu-terburu menyokong serta membuat tuduhan motif ‘dendam politik’ dengan kenyataan terbuka berkenaan menyerupai tingkah laku ahli politik dalam sebuah parti politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM.

“Kalau begitu suatu siasatan yang dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) taktala sedang menyiasat perdagangan saham secara proxy oleh Azam Baki di mana ramai telahpun dihukum sebelum ini, boleh juga disifatkan sebagai tekanan untuk motif ‘dendam politik’.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu bahawa kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya, dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya,” Menurut Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Majlis Presiden PH menggesa pegawai-pegawai kanan terbabit membuat laporan polis dan membiarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat secara terbuka.

“Ini kerana sememangnya SPRM tidak akan menyiasat Azam secara bebas dan profesional sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan bersama itu dibuat boleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kepimpinan PH itu juga menggesa supaya Azam dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang serta Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tan Sri Borhan Dolah direhatkan supaya siasatan bebas mengenai isu pemilikan saham itu dapat dijalankan.

“Majlis Presiden meneliti kenyataan media enam Ahli LPPR yang telah menjauhkan diri mereka dari kenyataan Abu Zahar, yang telah cuba membersihkan nama Azam Baki.

“Kenyataan media enam Ahli LPPR ini amat mengejutkan dan membuka mata seluruh negara kepada kepincangan yang berlaku dalam proses siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Jelas SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya sendiri, dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan,” katanya.

Menurutnya, kenyataan enam Ahli LPPR itu menjadi bukti paling kukuh Pengerusi LPPR sudah tidak diyakini dan tidak dipercayai Ahli LPPR serta perlu direhatkan sehingga selesai siasatan penuh terhadap Ketua Pesuruhjaya.

“Pada masa sama, Tan Sri Borhan Dolah juga perlu direhatkan sehingga siasatan yang sama selesai kerana enggan bertindak menyiasat Azam Baki sungguhpun Azam berkemungkinan telah melakukan kesalahan undang-undang kerana membenarkan akaun saham digunakan adiknya secara proksi.

“Perlu ada pimpinan baru yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR SPRM agar kewibawaan, integriti dan kredibilit SPRM dapat dipulihkan semula,” katanya.

Majlis Presiden PH turut mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting itu, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari nanti. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen