‘Unboxing isteri’ bawa keruntuhan institusi keluarga

‘Unboxing isteri’ bawa keruntuhan institusi keluarga

TREND “unboxing isteri” seperti tular di media sosial baru-baaru ini boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Ini kerana katanya, apabila bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi itu daripada awal lagi sudah tidak mengikut landasan nilai yang betul, apatah lagi mahu memupuk nilai moral anak-anak.

“Masyarakat hari ini hidup di zaman bercampur baur antara perkara halal dan haram. Hal ini bukan perkara pelik melihat kepada bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah ‘follower’.

“Sedikit sebanyak tempias ini turut menjejaskan nilai-nilai dalam institusi keluarga Islam. Pasangan suami isteri tidak lagi menghirau maruah, sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah ‘content’,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sehubungan itu, katanya, memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) Tahun 2019–2025.

Pelan itu katanya, diperkenalkan bertujuan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan orang Islam di negara ini.

“Antara langkah-langkah yang diperkenalkan pelan ini adalah penetapan agar setiap agensi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mestilah memanfaatkan dan mengoptimumkan penggunaan media massa dan media sosial bagi mempromosikan nilai-nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.

“Perancangan di pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kerjasama holistik semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam hari ini.

“Justeru, selain menjelaskan hukum Islam yang melarang trend “unboxing isteri” ini, saya menyeru semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif mempromosi nilai keluarga Islam terutama di saluran media baharu yang ada,” katanya.

Baru-baru ini tular rakaman ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ yang menjadi ikutan pasangan pengantin terutama dalam kalangan wanita bertudung.

Semakan Malaysiapost di laman TikTok mendapati beberapa akaun telah menyahut cabaran itu dengan membuat rakaman pengantin lelaki membuka aksesori kepala dan tudung pengantin perempuan di hadapan cermin.

Perkongsian akaun @m4ddyy4 yang memaparkan adegan itu dengan menulis kapsyen ‘Unboxing by husband’ dan mendapat hampir 100,000 jumlah tontonan dan 47,000 tanda suka.

Rata-rata di bahagian komen pengguna laman itu menempelak tindakan pasangan tersebut yang mempamerkan video dianggap ‘peribadi’ kepada tontonan umum. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen