58.4% ibu bapa yakin pemberian vaksin kepada kanak-kanak – KJ

58.4% ibu bapa yakin pemberian vaksin kepada kanak-kanak – KJ

SEBANYAK 58.4 peratus ibu bapa yakin terhadap vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada golongan kanak-kanak dan hanya 22.3 peratus berasa tidak yakin dengan vaksin berkenaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, dapatan itu adalah hasil tinjauan pendapat awam yang dijalankan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Kesihatan Negara (NIH).

“ICR, NIH telah menjalankan ‘public poll’ tentang keyakinan ibu bapa terhadap vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak. 58.4 peratus ibu bapa yakin memberi vaksin Covid-19 kepada anak mereka.

“Penerangan kebaikan vaksin ini untuk kanak-kanak akan diteruskan dan dihebatkan,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau turut berkongsi infografik mengenai dapatan daripada tinjauan awam berkenaan yang dibuat tanpa mengira jenis vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Tinjauan awam yang dijalankan itu turut mendapati 19.3 peratus ibu bapa yang tidak pasti dengan pemberian vaksin Covid-19 kepada anak mereka.

Berdasarkan tinjauan itu, ibu bapa yang tidak yakin tentang pemberian vaksin Covid-19 kebanyakkannya memberi alasan bimbang tentang tahap keselamatan pengambilan vaksin berkenaan, selain tiada bukti sahih keberkesanan vaksin terbabit.

Terdapat juga ibu bapa yang berpendapat pemberian vaksin bukan kaedah yang berkesan, selain beranggapan anak mereka tidak berisiko dijangkiti wabak berkenaan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen