Jangan bebankan rakyat dengan kenaikan tarif elektrik

Jangan bebankan rakyat dengan kenaikan tarif elektrik

Muhammad Faiz Fadzil

KENYATAAN Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa tarif baru elektrik tidak membebankan rakyat menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat sama ada tarif elektrik akan naik lagi.

Nampaknya, alasan tidak membebankan rakyat ini adalah alasan klise yang digunakan menteri Umno dulu yang kini diwarisi PAS pula.

Jelas, janji PAS bahawa isu kos sara hidup boleh selesai bila PAS menjadi kerajaan jauh meleset.

Ini adalah kerana kenaikan tarif elektrik mempunyai kesan domino dalam kenaikan harga barang yang pasti akan menjejaskan ekonomi rakyat.

Justeru, kerajaan digesa untuk membatalkan hasrat untuk menaikkan tarif elektrik. Kesan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi rakyat masih belum pulih dan sebarang kenaikan tarif elektrik pasti menambah keperitan hidup yang sedang ditanggung.

Yang perlu dibanyakkan adalah poket rakyat dan bukannya kantung TNB. TNB pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.78 bilion, iaitu 17 peratus lebih tinggi daripada tempoh sama tahun sebelumnya.

Jumlah ini mencukupi bagi TNB menampung apa-apa kenaikan kos demi membantu meringankan beban rakyat.

Sebaliknya, tumpuan kerajaan haruslah ke arah mencari mekanisme tuntas mengatasi masalah kos sara hidup. Tumpuan khas perlu diberi terhadap golongan B10 atau berpendapatan bawah RM2,500.

Bilangan isi rumah kumpulan ini telah meningkat 12.5 peratus pada tahun 2020 akibat kemelesetan ekonomi. Malah, 20 peratus isi rumah yang sebelumnya dikategorikan M40 telah jatuh ke dalam B40. Kumpulan ini juga memerlukan perhatian dan bantuan.

Tahun 2021 berakhir dengan pelbagai kegagalan tadbir urus kerajaan. Pertumbuhan ekonomi lebih teruk daripada jangkaan awal, pengangguran kekal di atas paras 700,000 individu, harga barangan asas meningkat mendadak, dan baru-baru ini, kerajaan BN/Umno-PAS-Bersatu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal membantu menangani banjir kilat di Lembah Klang.

Di pasaran modal pula, aliran keluar bersih pelabur asing adalah hampir RM3.15 bilion pada tahun 2021. Indeks KLCI juga adalah kedua tercorot di Asia.

Kegagalan pengurusan ekonomi negara memerlukan satu tindakan pemulihan yang drastik.

Kerajaan perlu mempunyai kesungguhan politik (political will) untuk melakukan tindakan ini. Dalam memulihkan ekonomi negara dan kehidupan rakyat, kerajaan digesa untuk menitikberatkan beberapa perkara berikut:-

i. Meningkatkan gaji minima, termasuk pengenalan gaji minima graduan

ii. Mengurangkan kos barangan di pasaran, khususnya barang keperluan asas. Saya mencadangkan agar Cukai SST atas barang keperluan asas digantung sementara untuk 6 bulan bagi menurunkan harga.

iii. Memberikan bantuan kewangan kepada syarikat mikro dan PKS untuk meringankan beban kos tetap mereka untuk 6 bulan pertama 2022. Ini akan membantu perniagaan tempatan membaiki aliran tunai dan secara tidak langsung, mengurangkan kesan inflasi.

iv. Membentangkan pelan khas jangka panjang bagi menyelesaikan krisis pasca-persaraan negara. Semakin ramai rakyat Malaysia berdepan dengan kekurangan simpanan persaraan.

v. Meningkatkan peluang pekerjaan di pasaran. Ini adalah masa yang sesuai untuk menggantikan sebilangan besar pekerja asing dengan warganegara Malaysia.

Pada masa yang sama, pengampunan boleh diberikan kepada pekerja asing tanpa permit dan mereka ini boleh ditempatkan semula di industri-industri yang mengalami kekurangan pekerja tanpa perlu mengimport pekerja baru.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pemuda Amanah dan ADUN Permatang Pasir.

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

Kredit Foto: Facebook

Google+ Linkedin

Komen