Johor kekal jarak solat jemaah setengah meter

Johor kekal jarak solat jemaah setengah meter

KERAJAAN Johor mengekalkan jarak setengah meter antara jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau negeri itu, walaupun terdapat kawasan terjejas dengan penularan Covid-19, ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata kes penularan Covid-19 yang berlaku di Taman Sri Pulai Perdana, di Johor Bahru, yang dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk taman berkenaan, Ahad lalu, tidak menjejaskan ketetapan jarak setengah meter berkenaan.

“Kita kekalkan jarak sedia ada iaitu setengah meter bagi solat Jumaat dan fardu lima waktu di masjid dan surau negeri ini yang sudah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, minggu lalu.

“Walaupun berlaku kes penularan Covid-19 di Masjid Taman Sri Pulai Perdana, ia tidak akan mengubah ketetapan itu.

“Ia berikutan masjid dan surau di kawasan berkenaan sudah diarah ditutup sementara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan misi bantuan pasca banjir Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Pusat Islam Iskandar, hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan supaya pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri itu dijarakkan hanya setengah meter berbanding satu meter antara jemaah, sebelum ini.

Perubahan itu berkuat kuasa bermula 7 Januari lalu hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Dalam pada itu, Tosrin memaklumkan, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai 47 kes positif Covid-19 yang dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana.

“Saya difahamkan kes di Taman Sri Pulai Perdana membabitkan jemaah umrah yang baharu pulang. Namun saya akan mendapatkan butiran lanjut daripada KKM,” katanya. – Malaysia

Google+ Linkedin

Komen