Mandikan pencuri macam jenazah seolah Islam benarkan berbuat zalim – PU Syed

Mandikan pencuri macam jenazah seolah Islam benarkan berbuat zalim – PU Syed

KEJADIAN pegawai masjid memandikan seorang pemuda seperti jenazah selepas ditangkap mencuri tabung masjid yang tular mendapat perhatian ramai termasuk pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed.

Menurut PU Syed atau nama penuhnya Syed Bakri Al-Yahya, tindakan pegawai masjid itu mengundang imej yang tidak elok bagi Islam.

Ini kerana, katanya kejadian mencuri yang dilakukan pemuda itu diakui salah dan menimbulkan kemarahan ramai, namun pembalasan yang diberi sepatutnya lebih adil.

“Isu curi tabung masjid satu hal. Apabila ditangkap, dimandikan di tempat mandi jenazah, dirakam serta ditularkan, ia bakal mengundang satu hal yang lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Katanya, situasi menghukum pemuda itu dengan memandikannya seperti jenazah akan menampakkan Islam berbuat zalim kepada si pencuri.

“Marah memang kita marah, tapi risau hasil daripada kemarahan tersebut nampak macam Islam membenarkan berbuat zalim walaupun (perbuatan tersebut) dengan niat untuk menyedarkan si pencuri,” katanya.

Terdahulu, remaja yang tular menerusi video dimandikan seperti jenazah akibat mencuri tabung masjid, dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nik Mohd Fadli turut menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung masjid kerana ia perbuatan yang salah. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen