Memiliki lesen sejak usia 18 tahun, Elizabeth Tan akui takut memandu

Memiliki lesen sejak usia 18 tahun, Elizabeth Tan akui takut memandu

PELAKON dan penyanyi popular, Elizabeth Tan mengakui tidak pernah memandu meskipun memiliki lesen sejak berusia 18 tahun, akibat trauma dan fobia terhadap jalan raya.

Elizabeth atau mesra disapa Lizzy, 28 berkata, perasaan itu menyelubungi dirinya selepas dia pernah terbabit dalam kemalangan melanggar sebuah teksi.

Jelas Lizzy, kerana itu dia enggan memandu sendiri untuk ke mana-mana bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

“Saya takut untuk memandu kereta sendiri. Jadi, selama ini jika mahu ke mana-mana pun saya akan dijemput pengurus, suami atau menggunakan khidmat e-hailing saja.

“Saya pasti tak boleh tenang jika memandu sendiri kerana perasaan terlalu takut itu. Jadi, daripada akan membahayakan diri sendiri dan orang lain, lebih baik saya tak ambil risiko,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media dan pratonton drama ‘siri original’ Astro Gempak berjudul Ex Aku Pontianak, semalam.

Bagaimanapun, Elizabeth berkata, sekiranya memiliki anak kelak, beliau akan cuba memberanikan diri untuk memandu.

“Ini kerana kebanyakan ibu zaman sekarang memang boleh memandu untuk menguruskan anak mereka.

“Jadi, hendak atau tidak saya tetap kena kuatkan diri untuk memandu sendiri bagi menguruskan anak-anak nanti. Sudah tentu saya juga perlu hantar mereka (anak) ke sekolah dan ketika itu memang kena memandu,” katanya.

Dalam pada itu, Elizabeth yang kini turut kelihatan semakin kurus memaklumkan dia dalam proses diet untuk persiapan majlis resepsi perkahwinannya dan suami yang akan berlangsung pada Februari depan.

“Saya diet sejak beberapa bulan lalu untuk persediaan diri di majlis resepsi nanti. Walaupun hampir setahun berkahwin, saya dan suami tetap nak adakan majlis resepsi kami sekarang untuk meraikannya bersama saudara mara pula.

“Sekarang ada peluang buat majlis, kami tak mahu ketinggalan kerana detik indah perkahwinan adalah sekali seumur hidup,” katanya.

Elizabeth melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihannya, Siew Jim pada 20 Mac tahun lalu dalam majlis sederhana yang dihadiri 10 orang ahli keluarga kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen