MKT Umno kekal sokong Ismail Sabri sebagai PM

MKT Umno kekal sokong Ismail Sabri sebagai PM

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno menegaskan bahawa sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sentiasa kekal.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata malah MKT berpendirian sokongan itu perlu terus dimantapkan.

“MKT Umno menegaskan bahawa sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan.

“MKT juga memutuskan agar segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti berjalan dengan baik dalam membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu yang jumlahnya sekitar 5.8 juta orang,” katanya dalam kenyataan, lewat malam tadi.

Dalam kenyataan sama, Ahmad berkata, MKT Umno juga turut merakamkan terima kasih kepada ahli dan pimpinan parti di semua peringkat yang terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir.

Beliau berkata, ia termasuk kakitangan ibu pejabat Umno, Biro Kebajikan Umno, Jawatankuasa Penyelaras Bantuan Bencana banjir Barisan Nasional, Skuad Sayang, Skuad Sabil dan sebagainya.

“Banjir besar yang melanda negara pada Disember 2021 dan Januari 2022 merupakan sesuatu yang diluar jangkaan.

“Pelbagai bantuan banjir yang diberi oleh kerajaan adalah dialu-alukan. Mesyuarat (MKT malam tadi) mengambil ingatan tentang pengurusan banjir yang perlu diperbaiki terutama di Selangor,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Sidang Khas Dewan Rakyat pada 20 Januari ini juga diharapkan dapat mengumpulkan cadangan bernas agar Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir besar pada masa akan datang. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen