Penting pakai alat penyukat denyutan jantung ketika berbasikal

Penting pakai alat penyukat denyutan jantung ketika berbasikal

INDIVIDU atau kumpulan yang melakukan aktiviti berbasikal dinasihat memakai alat penyukat denyutan jantung di dada (chest strap) bagi mengukur tahap degupan jantung ketika bersukan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kadar denyutan jantung adalah petanda paling penting mengetahui batas kemampuan tubuh dalam bersukan, khususnya sukan yang mempunyai kadar ‘intensity’ yang tinggi seperti larian dan berbasikal.

Beliau yang aktif berbasikal berkata, kayuhan basikal yang jitu akan meningkatkan kadar denyutan jantung 70 hingga 85 peratus dan purata denyutan jantung pada tahap berbeza amat bergantung kepada umur pengayuh iaitu berkadar langsung antara umur dan kadar maksima denyutan.

“Pengayuh basikal umur 30 tahun punya kadar denyutan jantung tertinggi sekitar 190 denyutan per minit; maka kadar puratanya adalah 95-133 denyutan per minit dalam kayuhan kelajuan biasa.

“Kayuhan yang kadarnya lebih padu, jitu akan meningkatkan denyutan kepada 133-162 per minit,” katanya dalam hantaran Facebook.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, jika individu yang melakukan aktiviti kayuh tidak mempunyai komputer basikal, mereka boleh menggunakan teknik ujian percakapan (talk test).

“Ucap frasa mudah dengan kuat, kalau tak mampu habiskannya dan tercungap-cungap itu bermakna kadar kepaduan kayuhan itu sangat tinggi. Kalau dapat ucapkan dengan satu nafas maka ianya kadar paduan sederhana,” katanya.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih mesra dikenali sebagai Shebby meninggal dunia disebabkan serangan jantung ketika sedang berbasikal, semalam.

Serbegeth yang mula menyarung jersi negara dalam kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982 dilaporkan meninggal dunia ketika berbasikal di Iskandar Puteri.

Mendiang yang juga pengulas sukan mengumpul 61 kap sehingga persaraannya selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen