‘Selamat berehat Shebby, saya akan merindui awak’ – KJ

‘Selamat berehat Shebby, saya akan merindui awak’ – KJ

“Selamat berehat, Shebby Singh. Saya akan merindui awak,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Luahan itu dibuat menerusi Instagram Story milik bekas Menteri Belia dan Sukan itu, yang amat merasai pemergian legenda bola sepak, Serbegth Singh, semalam akibat serangan jantung ketika berbasikal.

Sebelum itu, ikatan persahabatan mereka terjalin ketika keduanya bekerjasama dalam program realiti televisyen, MyTeam.

“Selamat berehat Shebby. Betapa hebatnya perjalanan kita bersama. Saya akan merindui awak, sahabat saya,” tulisnya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut memberi penghormatan kepada Shebby menerusi Facebooknya.

“Seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan yang hebat, pernah beraksi untuk Pahang FA juga. Dahulu kita seringkali lihat dan dengar ulasannya juga di TV tiap kali ada perlawanan.

“Saya juga suka dengar pandangannya. Takziah kepada ahli keluarga mendiang. Semoga tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Serbegeth yang mula menyarung jersi negara dalam kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982 meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berbasikal di Iskandar Puteri, petang semalam.

Mendiang yang lebih mesra disapa Shebby mengumpul 61 kap sehingga persaraannya selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen