AADK sedia rawat remaja ditangkap curi tabung masjid

AADK sedia rawat remaja ditangkap curi tabung masjid

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) bersedia membantu merawat pulih remaja lelaki yang didakwa terlibat permasalahan dadah selepas ditangkap cuba mencuri tabung di sebuah masjid di Rawang, baru-baru ini.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon, berkata siasatan polis mendapati remaja berusia 19 tahun itu mencuri duit tabung masjid dikatakan untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talian.

“Pada masa sama, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati remaja terbabit positif dadah jenis syabu.

“Sehubungan itu, di AADK perkhidmatan rawatan dan pemulihan disediakan menerusi fasiliti sama ada melalui Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), perkhidmatan di daerah, Pusat Khidmat AADK dan Rumah Komuniti AADK

“Ini termasuk perkhidmatan rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) yang berdaftar dengan AADK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sutekno berkata, AADK turut menyediakan perkhidmatan secara sukarela menerusi PUSPEN atau program pemulihan dalam komuniti yang tidak memerlukan klien berada di dalam PUSPEN.

Katanya, semua kemudahan tersebut terbuka kepada warganegara terjebak dengan masalah penagihan dadah yang ingin mendapatkan rawatan sewajarnya.

“Pun demikian, AADK berpendapat agensi yang berkaitan juga perlu digerakkan bagi memastikan masalah sosial dan ekonomi remaja terbabit dapat diselesaikan segera agar masalah sama tidak berulang. Justeru, ia memerlukan tindakan secara holistik daripada semua pihak berwajib.

“Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025, AADK menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan pemprosesan, pembekalan, penyeludupan, penjualan dan penagihan dadah,” katanya.

Beliau berkata, untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi atau mendapatkan nasihat daripada Pegawai Pemulihan AADK, hadir ke Pejabat AADK yang berhampiran atau hubungi Hotline AADK di talian 03-8911 2233 atau 019-626 2233. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen