Anggota polis antara ditahan bantu siasatan kes OKT mati mengejut di lokap

Anggota polis antara ditahan bantu siasatan kes OKT mati mengejut di lokap

POLIS menahan dua orang kena tuduh (OKT) dan dua anggotanya bagi membantu siasatan berkenaan kes kematian mengejut seorang OKT di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata semua mereka telah ditahan reman oleh Majistret Mahkamah Taiping selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 20 Januari bagi membantu siasatan.

“Berhubung kematian OKT di lokap IPD Taiping pada 13 Januari 2022, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS, Bukit Aman telah memulakan siasatan pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga tempatan mati mengejut dalam tahanan di lokap IPD itu pagi semalam.

Menurut Azri, lelaki yang merupakan OKT berusia 63 tahun itu adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping dan ditempatkan di IPD Taiping.

Katanya, OKT itu dituduh pada 18 April tahun lalu di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah kenderaan motor dan Seksyen 324 kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Mengulas lanjut, beliau berkata USJKT JIPS akan menjalankan siasatan berhubung kes itu. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen