Azam Baki boleh dipenjara jika enggan hadir PSC

Azam Baki boleh dipenjara jika enggan hadir PSC

KETUA Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki boleh dipenjara jika enggan hadir memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) Bagi Agensi- Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Perkara itu dijelaskan Veteran DAP, Lim Kit Siang yang berkata, tindakan itu boleh diambil sekiranya beliau mengingkari sepina Parlimen untuk hadir memberi penjelasan kepada jawatankuasa itu.

“Azam boleh dipenjarakan kerana menghina Parlimen jika beliau mengingkari sepina Parlimen untuk hadir di hadapan PSC bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 19 Januari ini untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Azam perlu memiliki tanggungjawab yang lebih tinggi kepada Parlimen dan rakyat dengan bersikap jujur dan amanah sebagai orang nombor satu SPRM.

“Azam memperbodoh diri sendiri apabila beliau kata beliau hanya bertanggungjawab kepada LPPR (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah) sedangkan beliau memiliki tanggungjawab yang lebih tinggi kepada Parlimen dan rakyat Malaysia untuk bersikap jujur dan amanah sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Tambah Kit Siang, Akta Kuasa dan Kestimewaan Parlimen 1952 adalah sangat jelas menyatakan Parlimen boleh menghukum seseorang yang mengingkari PSC.

“Azam tidak seharusnya menguji kuasa Parlimen untuk menghukumnya kerana menghina Parlimen jika dia mengingkari sepina PSC bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk hadir pada Rabu depan bagi membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan.

“Saya telah mengatakan bahawa seluruh kontroversi Azam akan dapat diselesaikan jika Azam bersedia untuk secara sukarela hadir di hadapan PSC bagi membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan. Mengapa Azam tidak bersedia untuk berbuat demikian?,” soalnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi pekeliling bertarikh 11 Januari lalu kepada sembilan Ahli Parlimen menganggotai PSC bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri berkata, satu mesyuarat diadakan pada 19 Januari ini berhubung isu pemilikan saham syarikat membabitkan Azam.

Bagaimanapun Azam membuat penafian dalam satu sidang media pada 5 Januari lalu yang percaya dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan, justeru tidak perlu memberikan reaksi terhadap tuduhan yang dikaitkan dengannya.

Azam juga menyifatkan beliau hanya bertanggungjawab kepada LPPR.

“Saya tak tampil untuk memberi penjelasan kepada pihak awam kerana saya tidak membuat sebarang kesalahan,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen