Curi tabung masjid: Masyarakat jangan jadi hakim – JKPK

Curi tabung masjid: Masyarakat jangan jadi hakim – JKPK

JAWATANKUASA Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial, Parlimen Keempat Belas (JKPK) berpendapat video tular melibatkan remaja dimandikan seperti jenazah adalah keterlaluan dan bimbang akan mengundang kemudaratan dari aspek psikologi.

Dalam satu kenyataan, JKPK menegaskan sewajarnya untuk menghormati proses keadilan serta institusi kehakiman yang sedia ada, berbanding dengan percubaan untuk mentadbirkan keadilan secara peribadi.

“Masyarakat tidak seharusnya bertindak sebagai hakim, pendakwa raya serta pihak pelaksana sabitan.

“Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) menyatakan bahawa tangkapan oleh orang awam hanya boleh dilakukan atas kesalahan yang tidak boleh dijamin, dan dengan tidak berlengah-lengah lagi orang yang ditangkap tersebut hendaklah diserahkan kepada pegawai polis ataupun balai polis yang terhampir,” kata kenyataan itu hari ini.

Katanya, tindakan jemaah masjid yang dipaparkan dalam video tersebut turut berkemungkinan disiasat di bawah Seksyen 323 serta Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Demikian itu, JKPK mengingatkan dengan prinsip kedaulatan undang-undang, ingin meneguhkan bahawa tiada siapa yang terkecuali daripada ataupun berada di atas undang-undang.

“Pada masa sama, pemimpin agama adalah tokoh masyarakat yang perlu menunjukkan dan menetapkan teladan dan contoh yang baik bagi masyarakat umum,” katanya.

Kenyataan bersama tersebut mewakili Pengerusi JKPK Dewan Rakyat, Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin; Ahli Parlimen Samarahan Rubiah Wang; Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid.

Turut mewakili Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng; dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen