‘Jagalah aibnya walaupun dia seorang pencuri’ – Uncle Kentang

‘Jagalah aibnya walaupun dia seorang pencuri’ – Uncle Kentang

AKTIVIS masyarakat Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang hari ini menegur tindakan pihak yang membuka aib orang lain walaupun individu itu seorang penjenayah.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Uncle Kentang tanpa menamakan mana-mana pihak berkata, sekiranya seseorang tertangkap kerana mencuri pihak yang menangkap sepatutnya bertanya sebab individu tersebut bertindak demikian.

“Jangan aibkan seseorang walaupun beliau curi. Kita bertanya kepada mengapa dia mencuri.

“Cari lah keluarga dia dan melawat,” tulisnya dalam hantaran ringkas itu.

Uncle Kentang berkata, sekiranya individu itu mencuri kerana kelaparan disebabkan tiada wang membeli makanan, bermakna masyarakatlah yang bersalah kerana tidak membantu mereka yang kesusahan.

“Kalau semata mata nak mengisi perut kosong, kita yang kenyang lebih bersalah dari dia, kerana kita tidak mencari mereka yang lapar tatkala kita kenyang,” katanya.

Kelmarin, remaja yang tular menerusi video dimandikan seperti jenazah kerana mencuri tabung masjid, dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Media sebelum ini melaporkan, pemuda itu telah dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap mencuri duit tabung masjid.

Video berdurasi seminit 25 saat tular di media sosial, telah dikongsikan pengguna Twitter, dengan memaparkan pemuda berkenaan sedang terbaring dan dimandikan oleh pihak masjid sambil diperhatikan penduduk kampung.

Semalam, peguam secara pro bono (tanpa bayaran), Azman Abdullah yang mewakili pemuda bernama Daniel Iskandar, 19, menjelaskan anak guamnya bertindak demikian atas desakan untuk membantu datuknya yang menghidap penyakit kronik.

Azman juga merayu agar mahkamah menjatuhi hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama kali anak guamnya serta dia telah insaf.

Dalam pada itu, Azman berkata, meskipun Daniel bersalah, tindakan pihak merakam anak guamnya dihukum dimandikan seperti jenazah oleh pegawai masjid adalah tidak wajar kerana menyebabkan tekanan kepada pemuda itu dan keluarga. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen